KANOWIT: Seramai 100 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Nanga Ngungun Kanowit menyertai program rondaan yang dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook AADK Daerah Sibu, rondaan tersebut dijalankan di sekitar kawasan rumah panjang selepas selesai sesi penerangan dan ceramah kepada komuniti.
“Program ini diyakini dapat mengukuhkan lagi hubungan rakan pintar antara AADK dan komuniti.
“Selain itu, ia juga bertujuan memastikan kawasan KRT Nanga Ngungun Kanowit bebas dan selamat daripada aktiviti tidak sihat,” menurut kenyataan tersebut.
AADK turut menegaskan bahawa rondaan ini memberi keyakinan kepada masyarakat tentang kehadiran dan peranan AADK dalam membantu memelihara keselamatan komuniti.
Terdahulu, AADK Daerah Sibu dijemput oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu bersama Jawatankuasa KRT Nanga Ngungun Kanowit untuk menghadiri Kursus Pemantapan Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Progresif Bahagian Sibu.
Program dimulakan dengan taklimat oleh Pegawai Perpaduan Kanowit mengenai pengenalan serta peraturan dan undang-undang berkaitan dengan SRS.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit membentangkan situasi jenayah semasa terutama melibatkan pencegahan jenayah, keselamatan komuniti serta trend jenayah terlibat.
AADK juga tidak ketinggalan dalam memberi penerangan serta pengetahuan kepada penghuni rumah panjang berkaitan dengan kesan buruk aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu, Jendri Mangku; Ketua BPJKK IPD Kanowit, Sarjan Muhammad Uthman Alli dan beberapa pegawai dari BPJKK IPD Kanowit.