NIAH: Seramai 10 penduduk Rumah Danggang Sungai Saeh, Kelatop ingkar arahan dan enggan memberi kerjasama untuk dikuarantin selepas salah seorang penduduk rumah itu didapati positif Covid-19 di sini, pada Ahad lalu.
Dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu penduduk untuk dipindahkan ke pusat kuarantin, hanya 14 penduduk rumah tersebut bersedia untuk menjalani kuarantin di salah sebuah hotel di sini.
10 penduduk ingkar itu memberitahu mereka enggan menjalani kuarantin berikutan tiada orang yang menjaga ternakan dan biji sawit mereka.
Keadaan tersebut juga mengakibatkan pertelingkahan Pegawai Daerah Subis, Jamalie Busri dan Pegawai KKM dengan penduduk yang enggan mengikut arahan walaupun dinasihatkan secara baik.
Terdahulu, penduduk di Rumah Danggang telah diarahkan Perintah Sekatan Pergerakan bermula 8 hingga 22 Mac ini kerana mempunyai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Agensi kerajaan lain yang turut serta ialah Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Ibu Pejabat Polis Bahagian Miri, Polis Gerakan Am (PGA) Batalion Ke 12 Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus telah menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk rumah panjang tersebut.
Rumah Tr. Danggang adalah merupakan rumah panjang yang kedua dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan selepas Rumah Tr. Bulin yang pertama di Zon Saeh, Daerah Subis.
Oleh ADUM LIU