ADUM LIU
BEKENU: Lebih 10 kubur di Perkuburan Cina di KM 7 Jalan Kampung Tengah di sini telah dicerobohi oleh individu yang belum diketahui lagi.
Wakil Jawatankuasa Perkuburan Cina Bekenu, Tan Teck Woon ketika ditemui di tempat kejadian semalam berkata, pencerobohan itu telah disedari kelmarin oleh mereka yang menziarahi kubur keluarga masingmasing.
Katanya, kejadian tersebut sangat mengecewakan kerana lebih 10 kubur telah diceroboh dengan memecah batu nisan dan gambar dipecah serta ditanggalkan.
“Pihak jawatankuasa akan bertindak segera untuk membuat aduan dan laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kejadian ini dipercayai telah dilakukan oleh individu yang belum dikenal pasti, terdapat beberapa kesan botol yang telah dipecahkan di sekitar permukaan kubur.
“Kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di perkuburan ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, pihak jawatankuasa akan secepat mungkin menghubungi keluarga yang mengalami kerosakan kubur di tempat terbabit.