Kastam Sabah rampas rokok bernilai RM1.65 juta

PENOLONG Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar (dua, kiri) dengan pegawai nya menunjukan rokok seludup bernilai lebih RM1.65 juta menerusi Ops Supply Raya di sekitar daerah Tawau, sejak 24 April sehingga Jumaat lepas. – Foto BERNAMA

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai lebih RM1.65 juta  menerusi Ops Supply Raya di sekitar daerah Tawau, sejak 24 April lepas  sehingga Jumaat lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, pelbagai jenis dan jenama rokok tanpa cukai dirampas dalam beberapa serbuan dan pemeriksaan dengan anggaran rampasan berjumlah RM363,364 dengan jumlah cukai sebanyak RM1,288,504.60.

“Antara rampasan terbesar dibuat pada jam 4.30 pagi, 15 Mei lalu di sebuah rumah di Kampung Sri Aman, tidak jauh dari lokasi serbuan pertama, yang menemukan beberapa kotak mengandungi pelbagai jenis dan jenama rokok seludup RM242,900,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdullah berkata beberapa serbuan dan pemeriksaan akan diteruskan sehingga 25 Mei ini.

Beliau menjelaskan, walaupun tiada sebarang tangkapan dibuat, operasi berterusan yang dijalankan  berjaya menggagalkan sindiket penyeludupan rokok di daerah ini. –  BERNAMA