KPDNHEP perkenal SHMMP sempena perayaan

PEMERIKSAAN… Kelyn bersama pegawai penguatkuasa menjalankan pemeriksaan di salah
sebuah pasaraya di Sibu semalam.

SIBU:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) semalam memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak 2020.

Ketua cawangan KPDNHEP Sibu, Kelyn Bolhassan berkata, perlaksanaan SHMMP adalah bertujuan untuk memastikan harga barangan terpilih terkawal dengan penepatan harga siling.

Menurutnya, SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2020 telah bermula pada 20 Mei hingga 3 Jun depan dengan sembilan jenis barangan disenaraikan.

“Antaranya ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu import, telur ayam gred A,B dan C, kelapa biji di peringkat pemborong dan kelapa parut di peringkat peruncit.

“Manakala, SHMMP Hari Gawai Dayak berkuatkuasa mulai 28 Mei hingga 3 Jun dengan sepuluh jenis barangan yang disenaraikan.

“Antaranya ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, kepak ayam, ayam tua, telur ayam gred A,B dan C, daging babi (perut), dan daging babi (daging dan lemak),” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan harga barangan terpilih terkawal SHMMP Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak di salah sebuah pasaraya, di sini semalam.

Selain dua skim tersebut, katanya, kerajaan  juga telah membuat penambahan barangan harga terkawal menerusi SHMMP 2.0 yang berkuatkuasa mulai 22 Mei hingga 3 Jun depan.

“Terdapat 11 jenis barangan disenaraikan bagi Negeri Sarawak. Antaranya ialah tomato, kubis import Indonesia dan China, cili merah, lada bangala hijau, bawang besar China dan Holland, ubi kentang import china, cili kering, kacang tanah import, ikan kembung termasuk ikan mambong dan ikan selayang,” ujarnya.

Tegasnya, KPDNHEP Sibu akan sentiasa membuat pemantauan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya.

“Langkah-langkah ini bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak berertika semasa musim perayaan.

“Manakala, pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka dan adalah disarankan supaya tidak membuat pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan,” ujar beliau.

Sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, aduan boleh disalurkan kepada kementerian melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1800886800 atau email e-aduan@kpdnhep.gov.my

Atau Aplikasi telefon pintar Ez ADU atau Enforcement Command Centre (ECC) 03-88826245/6088 dan whatsapp ke 019-2794317.