SEMANGAT PATRIOTIK… Zahrani Mahsot Saleh bersama rakan pendaki megah berdiri mengibarkan bendera Sarawak di puncak Gunung Kinabalu.
Tidak mempunyai tekad yang kuat dan stamina yang hebat, tidak mudah untuk seseorang itu menawan puncak gunung tertinggi Malaysia, Gunung Kinabalu.
Namun yang demikian, anak jati Kuching, Zahrani Mahsot Saleh, 35, berjaya berdiri megah di puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter (meter).
Menurut Zahrani, beliau sangat gembira kerana impiannya untuk menakluki Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah akhirnya tercapai setelah tertangguh hampir dua tahun berikutan pandemik Covid-19 melanda.
“Saya berasa bangga dengan diri saya kerana dapat melakar sejarah dengan mendaki puncak Gunung Kinabalu.
“Apabila saya sudah berada di puncak, pemandangan sangat indah dan ia memberi satu kepuasan kepada saya. Saya seperti melepaskan satu beban yang berat,” katanya.
Malah, Zahrani memberitahu, beliau turut mencipta rekod apabila berjaya menawan gunung tertinggi Sarawak iaitu Gunung Murud setinggi 2,438 meter.
“Gunung Murud dan Kinabalu masing-masing ada cabarannya sendiri yang mencabar mental dan fizikal.
“Jikalau Gunung Murud, trek panjang dan mencanak lebih-lebih lagi pada masa itu saya menggalas beg keperluan yang berat iaitu sekitar lima Kilogram.
“Pengalaman pahit saya semasa mendaki Gunung Murud, saya tergelincir dan jatuh ke dalam lopak berlumpur yang kedalamannya sehingga paras lutut kerana jalan licin akibat hujan.
“Selain itu, saya perlu berhati-hati dan peka setiap masa kerana sepanjang perjalanan banyak pacat dan binatang berbisa seperti ular ditemui,” jelasnya.
Berbeza dengan Gunung Kinabalu, katanya, cabaran terbesar di situ ialah suhu Gunung Kinabalu yang mencecah hampir tiga darjah Celcius.
“Ia menjadi cabaran besar bagi saya kerana saya sensitif dengan suhu yang rendah. Meskipun sudah memakai pakaian empat lapis tetapi angin dingin masih dapat menerobos ke kulit,” katanya.
Tambahnya, semakin tinggi mendaki Gunung Kinabalu, oksigen juga semakin berkurangan di samping perlu berdepan dengan altitud Gunung Kinabalu yang curam dan puncak yang berbatu-batu.
“Apabila sudah penat, sangat mudah mental koyak. Apa yang penting adalah usaha dan jangan mudah berputus asa,” ujarnya.
Berkongsi mengenai tips pencapaian luar biasanya, Zahrani memberitahu beliau membuat persiapan diri yang rapi sebelum aktiviti mendaki.
“Sudah berumur seperti kami, penyakit mudah menyerang dan boleh menjejaskan aktiviti harian.
“Untuk tetap sihat dan cergas, saya melakukan senaman, menjaga pemakanan, mendapatkan rehat yang cukup dan paling penting adalah sentiasa minum air putih.
“Nasihat saya kepada penggemar alam, ikut kemampuan diri ketika mendaki, jangan kejar masa dan jangan terlalu memaksa diri.
“Mendakilah dengan santai dengan cara bernafas yang betul. Kalau penat, berhenti lima saat dan sambung semula perjalanan sambil mengatur pernafasan,” katanya lagi.
Oleh SYAHIDA HASSAN