UDANG Geragau atau Bubok,bahan utama untuk menghasilkan Cincalok.
Dalam kalangan masyarakat tempatan, Cincalok memang cukup popular sebagai hidangan pembuka selera. Walaupun mempunyai bau yang kurang menyenangkan tetapi bagi yang menggemari makanan ini, ia sentiasa dicari pada waktu makan.
Cincalok dihasilkan daripada udang geragau atau Bubok dalam bahasa tempatan. Bubok ini dibersihkan dan dicampur dengan garam kasar serta nasi sejuk sebelum ditapai atau diperam selama beberapa hari.
Sebelum ini Cincalok hanya merupakan produk tradisi, khususnya dalam kalangan keluarga nelayan. Bagaimanapun sekarang ini Cincalok sudah naik tarafnya dari segi komersial dan sudah menempati rak-rak di pasar-pasar raya, bukan sekadar di gerai atau di tamu.
Bagi penggemar Cincalok, cara menikmatinya cukup mudah dan ringkas tetapi yang penting, harus ada bekalan Cincalok yang berkualiti.
Baru-baru ini penulis menikmati hidangan Cincalok untuk menukar selera disebabkan hampir setiap hari menjamu menu makanan yang sama iaitu ikan, ayam dan daging. Penulis akhirnya membeli sebotol Cincalok di Market Bandar Riyal di Samarahan setelah balik dari kerja.
Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri dalam menyediakan cincalok ini, namun penulis hanya mempunyai empat langkah mudah dalam menyediakannya.
Pertama sekali, benda wajib yang kita perlukan adalah sebotol Cincalok dan tuangkannya ke dalam mangkuk mengikut kuantiti yang diiginkan. Banyak atau sedikit bergantung kepada kehendak masing-masing.
Basuh, potong dan masukkan beberapa ulas bawang merah dan putih ke dalam Cincalok. Ada juga sesetengah orang hanya menggunakan bawang merah sahaja.
Tambahkan ikan bilis yang sudah dibersihkan dan akhir sekali, perahkan beberapa biji limau kasturi dan tumbuk atau potong beberapa cili padi mengikut tahap kepedasan yang diinginkan.
Bagi penulis, cili dan limau adalah bahan yang penting sekali, tanpanya rasa Cincalok mungkin kurang auranya.
Jenis cili adalah bergantung kepada cita rasa individu. Ada sesetengah individu menggunakan cili merah dan ada yang menggunakan cili hijau.
Jadi, dengan hanya menggunakan beberapa bahan ini sahaja cincalok sudah siap untuk dihidangkan kepada seluruh keluarga tercinta dan percayalah, nasi anda akan bertambah.
Oleh NICKELYSON LAKUN