AKUN GIMAN
SIBU:Perlantikan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang baharu adalah satu pengiktirafan buat Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan.
Ir Yusuf berkata, kepercayaan dan tanggungjawab itu adalah satu amanah yang harus dipikul sebaik mungkin dalam menyumbang ke arah memperkasa dan memartabatkan lagi sektor pembinaan negara.
“Saya percaya dengan pengalaman yang ada dan berkat kerjasama serta sokongan semua, CIDB yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 atau Akta 520 akan terus menjadi organisasi berwibawa, sejajar dengan tanggunjawabnya mengawal selia, membangunkan dan memudah cara industri pembinaan di Malaysia,” ujarnya.
Ir Yusuf dilantik sebagai Pengerusi CIDB yang baharu berkuatkuasa pada 1 Mei lalu.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Nebraska-Omaha, Amerika Syarikat, Ir Yusuf berpengalaman luas selama 34 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pernah menjadi pengarah untuk projek-projek infrastruktur kerajaan dan swasta.
Beliau kini merupakan Pengarah Jurutera Perunding Wahba Sdn. Bhd. Selain itu, beliau juga adalah ahli badan professional Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Persatuan Penasihat Jurutera Malaysia.
Beliau juga menyandang beberapa jawatan penting termasuklah sebagai Pemegang Amanah di Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rejang, Pengerusi The Paloh Muslim Charitable Trust Fund dan Panel Penasihat Program Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ahli Lembaga, barisan pengurusan dan kakitangan CIDB mengalu-alukan perlantikan Ir Yusuf dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Osman atas khidmat bakti beliau sebelum ini.