PETRA JAYA: Perbicaraan kes saman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Violet Yong terhadap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan Dato Sim Kiang Chiok yang sepatutnya diteruskan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Leonard David Shim hari ini, diselesaikan secara baik dengan memanggil Michael Kong sebagai saksi.
Ini setelah kedua-dua pihak bertindak mencapai persetujuan dengan memeterai ‘Deed of Settlement’.
Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mencapai kata sepakat di mahkamah dan akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan saman itu secara baik berdasarkan kepada syarat-syarat penyelesaian dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Yong, terdahulu, menuntut Sim memohon maaf kerana melabelkannya sebagai ‘pengkhianat Sarawak’ dalam catatan Facebook Sim bertarikh 29 April 2021 berkenaan beberapa isu berkaitan pembiayaan untuk membaiki atau menggantikan sekolah usang di Sarawak.
Berhubung siaran Facebook itu, Sim telah menerima satu surat bertarikh 7 Mei 2021 daripada Chong Brothers Advocates yang menuntut permohonan maaf dibuat di beberapa platform.
Kata sepakat tersebut hari ini dicapai antara peguam Yong iaitu Chong Siew Chiang bersama Hii Yiik Yew, Sim Kiat Leng dan Sharon Lo Min Hui serta peguam Sim iaitu Tony Ling Lee Tom bersama Nathan Ting.
Sebagai sebahagian daripada ‘Deed of Settlement’ itu, Sim selaku defendan bersetuju membuat permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif.
Menerusinya, Sim hendaklah menyiarkan dan ‘pin’ permohonan maaf secara terbuka itu di halaman Facebook peribadinya untuk tempoh tidak kurang daripada tujuh hari bermula dari tarikh ‘Deed of Settlement’.
Permohonan maaf Sim itu, menurut Yong ialah seperti dipersetujui seperti berikut:
“Saya, Sim Kiang Chiok, dengan sesungguhnya mengumumkan bahawa hari ini saya telah menyelesaikan secara baik saman yang dibawa oleh YB Violet Yong Wui Wui terhadap saya berhubung catatan Facebook saya pada 29 April 2021.
“Walaupun hantaran itu menyentuh keadaan sekolah usang di Sarawak dan merupakan perkara menarik minat umum di hati rakyat Sarawak, saya kesal menyifatkan YB Violet Yong Wui Wui dalam hantaran tersebut; yang menyinggung perasaan dan tidak sesuai.
“Saya kesal, menarik diri dan memohon maaf kepada YB Violet Yong Wui Wui atas hantaran tersebut tanpa syarat.”
Oleh Connie Chieng