
PUTRAJAYA: Yayasan MADANI menyasarkan pembukaan satu outlet MADANI Mart bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan lebih ramai rakyat di seluruh negara mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.
Pengurus Yayasan MADANI (Operasi MADANI Mart) Lutfi Mohd Ariffin menerusi satu kenyataan hari ini berkata sasaran satu outlet bagi setiap DUN merupakan visi capaian nasional dan ia akan dilaksana secara strategik serta berperingkat.
Beliau berkata sebanyak enam pusat pengedaran (DC) akan diwujudkan di seluruh negara dan setiap DC akan menyokong kelompok outlet dalam zon tertentu bagi membina jumlah pembelian, mengoptimumkan kecekapan logistik serta memastikan kestabilan harga.
“Pengembangan outlet akan dipacu berdasarkan kesiapsiagaan saluran dan kekuatan rantaian bekalan bagi memastikan pertumbuhan MADANI Mart kekal terkawal, mampan serta berdaya tahan sambil memperluas capaian kepada lebih ramai rakyat secara berperingkat,” katanya.
Merujuk respons industri terhadap MADANI Mart, Lutfi berkata pihaknya mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada pakar industri serta pemain berpengalaman.
Beliau berkata kerangka struktur dan operasi MADANI Mart tidak mengetepikan input profesional, sebaliknya turut dibangunkan dengan sumbangan daripada pakar dalam ekosistem runcit dan rantaian bekalan.

“MADANI Mart tidak menggunakan model yang sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan adalah tidak adil untuk mengunjurkan kegagalan inisiatif terdahulu ke atas MADANI Mart atau mana-mana pendekatan baharu.
“MADANI Mart juga tidak bergantung kepada dana kerajaan atau mana-mana syarikat tunggal untuk membiayai CAPEX (perbelanjaan modal) dan OPEX (perbelanjaan operasi). Setiap outlet dimiliki dan diusahakan secara individu, didorong oleh komitmen serta pelaburan pihak operator sendiri,” katanya.
Lutfi berkata meskipun dengan saiz kedai sederhana iaitu dua lot kedai, setiap outlet tetap mendapat kelebihan seumpama rangkaian peruncit besar.
“Hal ini kerana Yayasan MADANI bertindak sebagai pembina ekosistem dan inkubator, yang membolehkan pencapaian ekonomi skala melalui penyelarasan rantaian bekalan, sistem sokongan berpusat dan kerangka operasi yang tersusun,” katanya.
Lutfi berkata MADANI Mart turut memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan melalui pelaksanaan Jualan Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Ia sekali gus membantu memperluas akses rakyat kepada barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan serta menyokong agenda kesejahteraan kos sara hidup negara,” katanya.
Pada 3 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di negara ini di Indera Mahkota 8 (IM8), Pahang, yang dilaksanakan sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.
MADANI Mart menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia dengan matlamat memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan. – Bernama