SERIAN: Seramai 200 mangsa banjir di daerah Serian, menerima bantuan musibah banjir berjumlah RM60,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dalam program Ziarah Madani YAPEIM.
Serahan bantuan berbentuk RM200 tunai, dan set bekalan makanan bernilai RM100 setiap seorang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim di Dewan Kampung Hulu Serian, di sini, hari ini.
Serahan bantuan musibah banjir ini adalah yang pertama sejak bencana berkenaan mula melanda negeri ini, minggu lalu.
Selain Serian, daerah-daerah lain yang terlibat ialah Miri, Bintulu, Sibu, Samarahan dan Mukah.
YAPEIM sedang mengenal pasti beberapa lokasi lain di Sarawak yang boleh dibantu
Untuk rekod, YAPEIM telah menyalurkan sumbangan berjumlah hampir RM400,000 membabitkan lebih 6,000 penerima manfaat di Sarawak pada tahun lepas.
Sejak 1985 hingga tahun lepas, YAPEIM telah mengagih sejumlah kira-kira RM710 juta kepada hampir 10 juta penerima manfaat di seluruh negara.
YAPEIM ialah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ia ditubuh pada 13 Oktober 1976 dan dilancar semula pada 1984.
YAPEIM berperanan dalam pembangunan dan kesejahteraan ummah dengan menyediakan inisiatif pembangunan usahawan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan kepada yang layak dan memerlukan melalui program komuniti secara berpanjangan atau sekali (“one-off”).