
GENEVA, Switzerland: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan bahawa lebih banyak kes hantavirus berkemungkinan berlaku selepas penyakit itu meragut nyawa tiga penumpang kapal persiaran, namun menjangkakan wabak tersebut kekal terhad sekiranya langkah pencegahan diambil.
Seorang lagi penumpang yang sakit dari MV Hondius tiba di Eropah awal hari ini ketika kapal itu menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol, manakala pegawai kesihatan bertungkus-lumus menjejaki penularan strain yang berpotensi membawa maut dan boleh merebak antara manusia.
Nasib kapal Hondius mencetuskan kebimbangan antarabangsa selepas tiga individu yang menaikinya meninggal dunia, walaupun pegawai kesihatan meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya wabak global lebih besar daripada virus bawaan tikus itu, yang kurang mudah berjangkit berbanding COVID-19.
Sepasang suami isteri warga Belanda yang mengembara di sekitar Amerika Selatan sebelum menaiki kapal tersebut di Ushuaia, Argentina, pada 1 April lalu merupakan korban pertama.
Pihak berkuasa kesihatan Argentina berkata mereka masih belum dapat menentukan lokasi sebenar wabak itu bermula.
“Berdasarkan maklumat yang diberikan setakat ini oleh negara terlibat dan agensi kebangsaan yang mengambil bahagian, adalah mustahil untuk mengesahkan punca jangkitan,” menurut kementerian kesihatan selepas mesyuarat bersama pihak berkuasa dari kesemua 24 wilayah Argentina.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberitahu wartawan di Geneva bahawa lima kes disahkan dan tiga kes disyaki telah dilaporkan secara keseluruhan, termasuk tiga kematian.
“Memandangkan tempoh inkubasi virus Andes boleh mencecah sehingga enam minggu, ada kemungkinan lebih banyak kes akan dilaporkan,” katanya merujuk kepada strain jarang ditemukan yang dikesan di atas Hondius dan boleh menular antara manusia.
Pusat Perubatan Universiti Leiden di Belanda kemudian mengumumkan seorang lagi pesakit disahkan positif.
Bagaimanapun, Pengarah Amaran Kecemasan dan Tindak Balas WHO, Abdi Rahman Mahamud berkata beliau percaya bahawa keadaan itu akan menjadi “wabak terhad” sekiranya “langkah kesihatan awam dilaksanakan dan solidariti ditunjukkan oleh semua negara.”
Mereka yang dipercayai atau disahkan dijangkiti virus itu sedang dirawat atau menjalani kuarantin di Britain, Jerman, Belanda, Switzerland dan Afrika Selatan.
Penyakit Jarang Berlaku
Hantavirus ialah penyakit pernafasan yang jarang berlaku dan lazimnya merebak melalui tikus yang dijangkiti serta boleh menyebabkan gangguan pernafasan dan jantung selain demam berdarah. Tiada vaksin dan tiada penawar yang diketahui bagi penyakit itu.
Seorang penumpang dipercayai dijangkiti virus itu sebelum menaiki kapal di Argentina dan kemudian menjangkiti individu lain ketika kapal tersebut belayar merentasi Lautan Atlantik.
Pegawai di Argentina berkata mereka merancang untuk menjalankan ujian terhadap tikus di bandar pesisir Ushuaia, lokasi kapal itu berlepas pada 1 April lalu.
Tiga individu yang dipindahkan dari kapal itu dibawa keluar segera pada Rabu apabila ia berlabuh di Cape Verde, manakala seorang lagi tiba di Amsterdam pada Khamis, menurut pengendali kapal berpangkalan di Belanda, Oceanwide Expeditions.
Syarikat itu berkata tiada individu bergejala di atas kapal ketika ia belayar menuju ke pulau Tenerife di Sepanyol dan dijadual tiba pada Ahad ini.
Kes Pertama
Seorang lelaki Belanda yang menaiki kapal di Ushuaia bersama isterinya meninggal dunia di atas kapal pada 11 April lalu.
Mayat lelaki itu dibawa keluar dari kapal pada 24 April di Saint Helena, sebuah pulau di selatan Atlantik yang menjadi lokasi 29 penumpang lain turut turun dari kapal tersebut, menurut pengendali kapal.
Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengesan semua penumpang dan kru yang menaiki atau meninggalkan kapal sejak 20 Mac lalu.
Tedros berkata WHO telah memaklumkan kepada 12 negara bahawa rakyat mereka turun dari kapal persiaran itu di Saint Helena.
Kerajaan Saint Helena berkata “lebih 95 peratus” penduduk tidak mempunyai kontak rapat dengan penumpang atau kru kapal, mahupun menaiki kapal tersebut, dan kini berada pada “risiko jangkitan yang amat rendah”.
Isteri lelaki yang meninggal dunia itu, yang meninggalkan kapal bagi mengiringi mayat suaminya ke Afrika Selatan, meninggal dunia di negara itu 15 hari kemudian selepas turut jatuh sakit, dengan hantavirus disahkan sebagai punca kematian pada 4 Mei lalu.
Pasangan itu turut melawat Chile dan Uruguay selain Argentina, menurut pegawai di Buenos Aires.
Kementerian Kesihatan Chile berkata pasangan itu tidak dijangkiti di negara tersebut kerana mereka berada di sana “dalam tempoh yang tidak sepadan dengan tempoh inkubasi”.
Menurut WHO, tempoh inkubasi hantavirus boleh mencecah sehingga enam minggu.
Wanita Belanda itu menaiki penerbangan komersial dari Saint Helena ke Johannesburg ketika dia sudah menunjukkan gejala.
Pegawai sedang mengesan individu yang menaiki penerbangan tersebut, yang menurut syarikat penerbangan berpangkalan di Afrika Selatan, Airlink, membawa 82 penumpang dan enam kru.
Seorang penumpang warga Jerman meninggal dunia pada 2 Mei lalu. Mayatnya masih berada di atas kapal. – AFP