CHELSEA mencapai persetujuan menandatangani Timo Werner dari RB Leipzig.
Penyerang berusia 24 tahun itu bersetuju dengan terma peribadi bersama The Blues selain perlu menjalani ujian perubatan dan akan menyertai pasukan pada Julai depan apabila musim liga Jerman berakhir.
Werner yang menyertai Leipzig dari Stuttgart pada 2016 setakat ini menjaringkan 32 gol dalam semua kejohanan musim ini.
“Saya gembira dapat menyertai Chelsea, ia detik membanggakan untuk bersama kelab hebat ini,” kata pemain antarabangsa Jerman itu.
Werner yang terkenal dengan kepantasannya turut boleh beraksi di bahagian sayap berterima kasih kepada kelab dan penyokong di Leipzig. Menurutnya, mereka sentiasa berada di hatinya.
Katanya lagi: “Saya teruja dan memandang ke hadapan untuk bersama rakan sepasukan yang baharu musim depan, pengurus baharu dan sudah tentu penyokong Chelsea.
“Bersama kita miliki kejayaan di masa hadapan,” ujarnya.
Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata, kelab amat gembira memperolehi salah seorang pemain Eropah paling dikehendaki yang memilih Stamford Bridge.
“Dia mempunyai gabungan karakter yang jarang dimiliki, muda, ceria dan terbukti kemampuannya,” katanya lagi.
PENJARING terbanyak sepanjang zaman Napoli, Dries Mertens menandatangani kontrak baharu sehingga 2022 bersama kelab Serie A itu beberapa jam sebelum menentang Juventus dalam aksi final Piala Itali di Rome.
“Mereka yang menyayangi Naples tahu cinta ini adalah selamanya. Saya akan memberikan yang terbaik sehingga ke hari terakhir untuk mencipta sejarah kelab dan bandar ini,” kata pemain antarabangsa Jerman itu dalam akaun Twitternya, hari ini.
Kontrak baharu pemain berusia 33 tahun itu tamat 2022 tetapi turut mempunyai pilihan lanjutan ke musim ketiga.
“Sangat gembira dapat bersama untuk tempoh lama. Hidup Dries!” kata presiden, Aurelio De Laurentiis dalam Twitternya.
Mertens tiba di Naples dari PSV Eindhoven pada 2013, menjuarai Piala Itali dan Piala Super Itali pada musim berikutnya.
Dia menjaringkan 122 gol daripada 310 perlawanan dan menyumbang 73 bantuan jaringan dalam semua kejohanan untuk Napoli.
Bintang Belgium itu muncul penjaring terbanyak Napoli pada separuh akhir Piala Itali selepas menewaskan Inter Milan, Sabtu lalu.
Dia memintas Marek Hamsik dan tujuh gol mengatasi legenda kelab, Diego Maradona.-AFP