
KUCHING: Dato Wee Hong Seng sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi penggal baharu yang bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Pelantikan semula beliau diumumkan dalam satu majlis angkat sumpah yang berlangsung di dewan majlis MBKS di sini, hari ini.
Turut dilantik semula ialah Dato Dr. Zaiedi Suhaili sebagai Timbalan Datuk Bandar MBKS, bersama ahli majlis sedia ada dan lapan ahli baharu, menjadikan keseluruhan pasukan ahli majlis MBKS seramai 32 orang.
Ahli Majlis yang dilantik semula ialah Kaunselor Albert Tay Seng Pin, Kaunselor Andy Lester Tan, Kaunselor Bong Siak Peng, Kaunselor Candida Entri, Kaunselor Chai Ju Loon, Kaunselor Drahman Jaladin, Kaunselor Eric Tay Tze Kok, Kaunselor Isaac Lee Mong Yann, Kaunselor Jong Jia Chee, Kaunselor Judy Kho Poh Gek, Kaunselor Hemang Yu Abit, Kaunselor King Sie Ying, Kaunselor Liew Leong Yee, Kaunselor Misiah Abdullah @ Emiss Berudi, Kaunselor Othman Bujang, Kaunselor Sa’amah Bojeng, Kaunselor Salina Mohammad Salleh, Kaunselor Dato Shankar Ram Pohumall Asnani, Kaunselor Thomas Sim Eng Shan, Kaunselor Wilfred Mujah Aton, Kaunselor Wung Duk Ying dan Kaunselor Roy Percival Rentap.
Sementara itu, Ahli Majlis baharu ialah Kaunselor Ariff Ikhwani Mut-Ee, Kaunselor John Wong Chiew Shin, Kaunselor Mohamad Akram Mohamed, Kaunselor Mohd. Syafiq Mohammad Razali, Kaunselor Russell Geramong Wilson, Kaunselor Shaukat Khan Ishtiaq Hussain Khan, Kaunselor Stefanie Evelyn Inte Bubong dan Kaunselor Wendy Earnest Sadan.
Upacara angkat sumpah dan menandatangani akuan penerimaan lantikan tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Semasa berucap, Dr. Sim menekankan tanggungjawab besar yang digalas oleh Ahli-ahli Majlis dalam membantu merumus dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan Sarawak.
“Anda semua mempunyai tanggungjawab yang besar kerana anda berperanan menggubal dasar serta menetapkan pelbagai terma dan syarat yang melibatkan persatuan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Kerajaan Sarawak boleh menggubal dasar dan undang-undang, namun pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak, terutamanya Ahli Majlis,” katanya.
Beliau turut menyifatkan MBKS sebagai salah satu pihak berkuasa tempatan yang utama di wilayah ini, yang berperanan penting dalam mencorak pembangunan bandar dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Terdahulu semasa berucap, Wee merakamkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Dr. Sim, atas keyakinan yang diberikan terhadap kepimpinan beliau.
“Saya amat terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Ini bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi satu tanggungjawab besar yang saya galas dengan penuh rasa amanah,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, warga kerja MBKS, serta rakyat Kuching Selatan atas sokongan berterusan yang diberikan.
Penghargaan juga beliau titipkan kepada barisan kaunselor yang telah tamat tempoh perkhidmatan atas khidmat bakti mereka, sambil mengalu-alukan kehadiran kaunselor baharu yang akan bersama dalam usaha memajukan bandar raya ini.
Hadir sama di upacara tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr. Sabariah Putit.
Turut hadir, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Hilmy Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Elizabeth Loh, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China serta Konsulat Jeneral Brunei Darussalam. – UKAS