
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang pembangunan laluan tebingan sepanjang 4.8 kilometer bagi menghubungkan Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke dengan Jambatan Satok sebagai usaha memperkukuh tarikan pelancongan di bandar raya ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan kos keseluruhan mencecah ratusan juta ringgit.
Menurut beliau, fasa pertama dijangka bermula tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM160 juta, manakala fasa kedua melibatkan kos sekitar RM400 juta.

“Laluan ini bukan sahaja mencantikkan bandar raya Kuching, malah menghubungkan warisan sejarah dengan budaya masyarakat di kawasan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke di sini, semalam.
Abang Johari berkata, pembangunan tersebut akan menampilkan reka bentuk seni bina bertingkat yang tidak menjejaskan kediaman penduduk setempat.
Katanya, laluan itu juga membolehkan orang ramai berjalan kaki dari kawasan Limbungan Brooke hingga ke Pasar Satok.
Tambah beliau, kawasan berkenaan mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana pernah menjadi pusat aktiviti perdagangan dan pembaikan kapal pada suatu ketika dahulu.
Menurutnya, pembangunan itu selari dengan perancangan kerajaan untuk menghidupkan semula kawasan bersejarah sebagai produk pelancongan yang berdaya saing.
Oleh Adele Rissa