
PUTRAJAYA: Warga pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu sentiasa diberikan ruang untuk meningkatkan kompetensi, memperkukuh kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan pendidikan semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata budaya pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, pensijilan serta pengiktirafan profesional perlu terus diperkasakan supaya warga pendidik KEMAS kekal relevan, yakin dan bersedia mendepani perubahan.
“Persekitaran pembelajaran mesti terus dipertingkatkan. Anak-anak yang hebat memerlukan suasana pembelajaran yang kondusif, manakala pendidik yang cemerlang berhak mendapat kemudahan yang selesa dan menyokong tugas mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) Tahun 2026, di sini hari ini.
Ahmad Zahid turut menzahirkan harapan agar pendidik KEMAS terus berani mencetuskan idea dan menggunakan pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Dalam hal ini, saya tidak akan membiarkan Ketua Pengarah KEMAS (Datuk Mohd Hanafiah Man) dan KEMAS bergerak bersendirian. Saya akan memastikan kementerian terus memberi sokongan, termasuk menyediakan peruntukan mencukupi dan berterusan bagi melaksanakan kerja naik taraf dan pembaikan premis pendidikan awal kanak-kanak KEMAS di seluruh negara,” katanya.
Ketika ini, kira-kira 11,113 lokasi mempunyai tadika dan taska KEMAS, disokong dengan 12,166 tenaga pengajar di seluruh negara.
Menurut Ahmad Zahid lagi, Hari Pendidik KEMAS pada tahun ini membawa makna yang cukup besar memandangkan selama 55 tahun, KEMAS telah berdiri sebagai institusi pendidikan rakyat yang membuka pintu ilmu kepada anak-anak Malaysia, khususnya di desa, kampung, pedalaman, pulau dan wilayah yang jauh daripada arus pembangunan.

“KEMAS dari dahulu lagi telah menjadi medan terawal dalam kehidupan anak-anak kecil. Sejak penubuhannya, KEMAS telah menjadi pemula kepada perjalanan lebih 8.4 juta anak Malaysia.
“Inilah legasi sebenar KEMAS yang kita semua harus banggakan. Bukan sekadar membina bilik darjah, tetapi membina manusia. Bukan sekadar mengajar huruf dan angka, tetapi menyemai keyakinan, membentuk peribadi dan mencerdaskan anak bangsa,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Suriani Ahmad, Hanafiah dan lebih 300 warga pendidik KEMAS. – Bernama