
KUCHING:Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak yang beragama Kristian menghadiri upacara sembahyang khas sempena sambutan Hari Polis ke-219 di Gereja Katedral St. Thomas.
Upacara tersebut diketuai oleh Pegawai Turus Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak ACP James Jonathan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak ACP Maria Rasid, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak ACP Tonny Lunggan serta Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu, bersama pegawai kanan, anggota dan pegawai awam PDRM Kontinjen Sarawak yang beragama Kristian. Kehadiran para bekas pegawai mencerminkan semangat kebersamaan merentas generasi dalam keluarga besar PDRM.

Penganjuran program ini bukan sahaja memenuhi keperluan kerohanian, malah bertujuan memperkukuh keimanan serta memohon keberkatan agar seluruh warga PDRM sentiasa dilindungi, dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
Selain itu, program seumpama ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan warga PDRM yang berbilang kaum dan agama.
Nilai kerohanian yang diterapkan diharap dapat membentuk anggota yang berintegriti, berdisiplin dan sentiasa berkhidmat dengan penuh keikhlasan.