KUCHING: Warga kerja di unit-unit di bawah Jabatan Premier Sarawak perlu peka dengan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri berikutan mereka merupakan ejen perhubungan yang menerangkan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Ia juga salah satu usaha memajukan dan membawa Bumi Kenyalang ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, kerajaan Sarawak kini merupakan sebuah kerajaan yang agresif dengan polisinya yang tersendiri dalam membangunkan negeri ini lebih-lebih lagi penerapan teknologi tenaga hijau.
“Semua orang tahu bahawa kerajaan Sarawak adalah antara kerajaan yang agresif dengan pelbagai polisi dan agenda pembangunan yang tidak semua orang tahu.
“Jadi, kita yang berada di Unit di bawah Jabatan Premier Sarawak perlu sentiasa ‘kemaskini’ dengan inisiatif-inisiatif terkini seperti tenaga daripada hidrogen, lapangan kapal terbang baharu dan seantara dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penutupan Kejohanan Tenpin Boling antara Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) sempena ulang tahun UKPS ke-7 di sini, semalam.
Untuk rekod, seramai 320 peserta termasuk Datuk Abdullah dan kakitangan daripada kedua-dua unit berkenaan telah menyertai pertandingan ini.
Bagi kategori VIP berpasukan, pasukan VIP UKAS 3 telah menggondol gelaran juara sekali gus berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM800 dan medal.
Sementara itu, pasukan VIP UKPS 2 dan VIP UKAS 1 masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM600 dan RM400 serta medal.
Dalam pada itu, bagi kategori berpasukan pula telah diungguli oleh ‘bowlers’ daripada UKPS iaitu di tempat pertama adalah KTB 1 dengan hadiah wang tunai sebanyak RM800 beserta medal dan Ops Boyak serta Desa Wira masing-masing akur di kedudukan kedua dan ketiga dengan hadiah sebanyak RM600 dan RM400 beserta medal.