

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Seksyen Kuching semalam selepas mengaku bersalah memiliki 2,253 biji telur penyu tanpa permit atau lesen yang sah.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), tertuduh didakwa di bawah Seksyen 37(2)(a) dibaca bersama Seksyen 29(1)(c) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (WLPO) atas kesalahan memiliki telur penyu secara haram tanpa kebenaran daripada Unit Kawalan Hidupan Liar Sarawak.
SFC memaklumkan, kes berkenaan merupakan hasil kejayaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan menerusi kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan telur penyu di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Operasi bersama itu melibatkan beberapa agensi termasuk SFC, Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Jagoi Babang, Badan Karantina Indonesia serta Satgas Perbatasan SSK II Indonesia.
Menurut SFC, kejayaan operasi tersebut dicapai hasil perkongsian maklumat risikan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara strategik oleh semua agensi terlibat.
Tambah kenyataan itu, aktiviti penyeludupan telur penyu bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah memberi ancaman serius terhadap kelestarian spesies penyu yang semakin terancam.
SFC turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara bagi memastikan aktiviti penyeludupan serta perdagangan haram hidupan liar dapat dibanteras secara berkesan.
Dalam masa sama, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti berkaitan perdagangan haram hidupan liar demi melindungi khazanah biodiversiti negara untuk generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman