
KUCHING: Seorang warga emas berusia 74 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas berjaya diselamatkan daripada kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Lorong Stutong Baru 14B, Taman Centurion 1, di sini, malam ini.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 7.05 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi pada 7.11 malam, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi dengan api sedang marak di bahagian tingkat atas.
Kebakaran dianggarkan memusnahkan sekitar 40 peratus tingkat dua rumah berkenaan.
Dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan, seorang warga emas yang dipercayai terperangkap berjaya ditemukan dan dibawa keluar ke kawasan selamat dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Anggota Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum mangsa diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi.
Mangsa seterusnya dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Kebakaran berjaya dikawal pada 7.25 malam, manakala kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.
Operasi melibatkan 18 anggota dari BBP Tabuan Jaya dengan bantuan BBP Batu Lintang menggunakan sebuah jentera CFRT, sebuah FRT, sebuah EMRS dan sebuah kenderaan Hilux.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Norman B