KABONG: Empat warga emas dan seorang kanak-kanak telah ditempatkan di Surau Dewan Lakin, Kampung Nyabor apabila kediaman mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata hasil pemantauan anggotanya yang betugas sekitar 1 petang mendapati, kawasan terbabit telah dinaiki air setinggi 0.3 meter.
“Justeru, Pegawai Daerah Kabong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kabong, Tahir Sharee telah memutuskan untuk membuka pusat sementara (transit) kepada mangsa di Dewan Lakin Kampung Nyabor sementara menunggu air surut sepenuhnya,” katanya.
Nur Athirah berkata hujan berterusan dan sistem perparitan tersumbat menyebabkan beberapa kawasan rumah penduduk di Kampung Alit Kabong, Kampung Wawasan Kabong dan Kampung Nyabor serta di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir dinaiki air.
“Setakat jam 3.30 petang trend air surut sepenuhnya dan jalan utama dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan dan air beransur surut secara perlahan-lahan.
“Namun, laluan di jalan Nyiar Roban tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya.
Nur Athirah menambah tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
“Anggota APM Saratok menasihati penduduk agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu masa kini.
“Jika mempunyai sebarang kes kecemasan, sila hubungi Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Saratok (PKOD Saratok) ditalian 083-436094 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN