SIMANGGANG: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang di Rumah Anjar Sinjor, dekat sini, ditemukan meninggal dunia dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman bersama beberapa agensi penyelamat hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 8.57 pagi memaklumkan mengenai kehilangan mangsa sebelum anggota APM segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, operasi SAR dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk kampung bagi mempercepat usaha mengesan mangsa.
Menurutnya, satu sesi taklimat operasi diadakan terlebih dahulu bagi menyelaras pergerakan semua anggota dan agensi yang terlibat sebelum pencarian dimulakan di kawasan sekitar yang dikenal pasti.
Katanya, operasi pencarian dijalankan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada laluan dan kawasan yang dipercayai dilalui mangsa berdasarkan maklumat yang diperoleh.
Beliau berkata, pada 11.10 pagi, mangsa berjaya ditemui dalam lingkungan kira-kira satu kilometer dari kediamannya.
Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut prosedur.
Operasi SAR itu ditamatkan sepenuhnya pada 11.30 pagi selepas semua urusan di lokasi selesai dilaksanakan oleh pasukan penyelamat.
Leftenan Kamal turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PDRM, JBPM dan penduduk kampung atas kerjasama erat serta komitmen tinggi yang diberikan sepanjang operasi SAR sehingga berjaya menemukan mangsa.
Oleh Adi Safarman




