TUBAU: Seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu, ditemukan selamat di kawasan kebun getah berhampiran Rumah Mabong, Sg. Stam Rasan di sini, petang Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, wanita 80 tahun yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran itu ditemui lemah sekitar jam 3.45 petang oleh pasukan penyelamat di semak dalam kebun getah, 100 meter dari pusat kawalan tempat kejadian.
Menurutnya, mangsa dilaporkan hilang selepas keluar memberi makan haiwan ternakan di belakang rumah panjang tersebut pada Isnin sekitar jam 5 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pagi Rabu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta 10 penduduk kampung berdekatan.
“Selepas ditemui, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa ke Klinik Kesihatan Tubau untuk pemeriksaan lanjut bersama ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kehilangan wanita itu disedari ahli keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah pada hari kejadian, dan usaha awal mencari mangsa oleh penduduk kampung juga gagal sebelum laporan dibuat di Balai Polis Tubau.
Nixon menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan disarankan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304,” ujarnya.