LUNDU: Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun bersama cucu perempuannya melecur di muka serta anggota badan dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sileng Melayu, di sini, semalam.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, semasa kejadian tersebut rumah dihuni oleh tujuh orang iaitu wanita warga emas beserta enam orang cucunya.
“Kebakaran telah menyebabkan warga emas, umur lingkungan 70 tahun telah melecur pada bahagian muka dan lengan kiri.
“Mankala kanak-kanak perempuan yang berusia tiga tahun telah melecur pada bahagian muka, anggota tangan kiri dan kanan serta kaki kiri dan kanan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, Bomba telah menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.25 tengah hari.
“Sejurus selepas itu, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu terus ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur separuh kekal dan kemusnahan kebakaran adalah sekitar 80 peratus yang hanya melibatkan bahagian tingkat atas,” jelasnya.
Jelasnya, kebakaran tersebut telah menyebabkan wanita terbabit bersama cucunya telah melecur dalam usaha menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya keluar dari rumah dengan selamat sebelum api semakin marak,” katanya sambil menambah turut membantu dilokasi adalah anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Lundu.
Oleh Zarina Abdullah