
KUCHING: Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun cedera selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok di tepi Jalan Tun Ahmad Zaidi, berhampiran Hospital Umum Sarawak, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 pagi sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi tiga minit kemudian, pasukan mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan Rescue Tool untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa berjaya dikeluarkan pada 10.45 pagi sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Oleh Amanda L