KUCHING: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak menggesa orang ramai menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak Sri Kestury Mohammed Zamhari berkata inisiatif itu bertujuan menyemai rasa bangga dan cintakan negara serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Beliau berkata patriotisme bukan sekadar diraikan apabila tibanya bulan kebangsaan, sebaliknya perlu terus dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“JAPEN Sarawak ingin menyemai rasa bangga, cintakan negara dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat agar semangat patriotisme bukan sekadar diraikan, tetapi benar-benar dihayati,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook JAPEN Sarawak hari ini.
Sri Kestury berkata pemasangan Jalur Gemilang di premis kerajaan turut menjadi antara fokus utama bagi menyemarakkan sambutan HKHM tahun ini, sekali gus menjadi contoh kepada sektor swasta, komuniti dan orang awam untuk turut mengibarkan bendera kebangsaan.
Beliau berkata sebagai tanda sokongan terhadap kempen itu, JAPEN Sarawak telah memasang Jalur Gemilang di sekitar ibu pejabatnya di sini pada 20 Julai lepas, sekali gus mencerminkan komitmen jabatan itu dalam menyebarluaskan mesej patriotisme kepada masyarakat. – Bernama





