KUCHING: Seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat di sini berputih mata setelah kehilangan RM160,000 menjadi mangsa penipuan menerusi telefon.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, mangsa yang berusia dalam 40-an itu telah menerima panggilan telefon daripada suspek ketika berada di Daerah Kuching, 12 Oktober lalu.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) Teknologi Maklumat yang mengatakan mangsa terlibat dengan kes penyebaran berita palsu mengenai Covid-19.
”Kemudian talian mangsa telah disambungkan kepada seseorang yang dikenali sebagai Sarjan Yap dari Balai Polis Ipoh, Perak yang kemudian memberitahu kononnya kad pengenalan mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram dalam sistem bank.
”Suspek juga menyatakan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa dalam tempoh 24 jam dan kes mangsa akan dipantau oleh Jabatan Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang panik dan takut setelah menerima berita itu kemudian bertindak mengikuti arahan suspek untuk membuka satu akaun bank.
Setelah itu, mangsa kemudian mendaftar perbankan atas talian (online banking) menggunakan nombor telefon dan alamat emel yang diberikan oleh suspek.
”Mangsa seterusnya membuat empat kali transaksi pindahan wang sebanyak lebih kurang RM146,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank baharu mangsa pada awal pertengahan Oktober 2023.
”Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah menyemak status wang simpanan dengan pihak bank dan terdapat pindahan wang dari akaun bank mangsa kepada akaun bank pihak ketiga sebanyak lebih kurang RM160,000,” jelasnya.
Sehubungan itu, Azman menasihatkan orang ramai agar tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali dan memberitahu pasangan, rakan atau ahli keluarga tentang panggilan telefon yang diterima.
”Orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber (phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) dan sekiranya anda baharu sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek,” tambahnya.
Oleh Rynna Sha’erra