Wanita patah kaki dalam kemalangan di Jalan Kubong

Facebook
WhatsApp
REMUK…Sebuah kereta rosak teruk di bahagian pemandu akibat kemalangan.

LIMBANG: Seorang wanita berusia 40 tahun patah kaki kiri selepas kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah hilux di Kilometer 5, Jalan Kubong berhampiran Kampung Batu Bakarang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, kemalangan yang berlaku sekitar 4.30 petang itu turut menyebabkan tiga mangsa lain mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi tidak cedera.

“Ketika kejadian, pemandu hilux berusia 64 tahun dalam perjalanan dari bandar Limbang ke Kampung Batu Bakarang. Tiba di lokasi, sebuah kenderaan dari arah bertentangan masuk ke laluannya lalu melanggar bahagian depan kanan kenderaan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

KESESAKAN…Kemalangan turut menyebabkan kesesakan jalan raya di Limbang.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu hilux mengalami bengkak di pipi kanan, manakala penumpang kereta terbabit patah kaki kiri. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang turut berada dalam kereta itu mengalami benjol di kepala.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.