
MIRI: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit berisi air di Kampung Angus, Jalan Persisiran Pantai Bekenu dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 1.21 pagi itu, mangsa, 22, ditemukan tidak sedarkan diri selepas tersepit di dalam kereta yang terbabas ke kawasan semak berhampiran.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikejarkan ke lokasi sejauh 35 kilometer sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 2.20 pagi dan mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam parit berisi air.
“Terdapat seorang mangsa wanita dewasa terperangkap di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum dibawa ke tempat selamat untuk tindakan lanjut.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan tamat sepenuhnya pada 2.52 pagi.
Oleh Liong Chai Ling