
KUCHING: Mengejar kerjaya, mengurus kehidupan peribadi dan dalam masa sama berdepan keletihan harian, itulah realiti yang dilalui ramai wanita berkerjaya hari ini.
Sempena sambutan Hari Pekerja, keseimbangan antara kerja dan kehidupan atau work-life balance dilihat masih sukar dicapai apabila tuntutan tugas yang berterusan sering bertembung dengan komitmen peribadi.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati perkara tersebut turut dikongsi beberapa wanita berkerjaya yang mengakui pengurusan masa, keletihan fizikal dan mental serta tanggungjawab peribadi menjadi antara cabaran utama dalam mengekalkan kesejahteraan hidup.
Bagi seorang wartawan, Amanda Matt, 28, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi kini berada dalam keadaan tidak menentu berikutan komitmen besar yang sedang dihadapinya.
Menurutnya, tuntutan kerja yang berterusan, ditambah dengan persiapan perkahwinan, menyebabkan masa peribadi terpaksa diketepikan buat sementara waktu.
“Pada masa ini, keseimbangan itu agak tidak sekata kerana kerja dan persiapan perkahwinan kedua-duanya memerlukan perhatian.
“Cabaran utama adalah menguruskan pertindihan tarikh akhir tugasan kerana kerja sebagai wartawan tidak pernah berhenti, manakala komitmen peribadi juga menuntut fokus yang sama,” katanya.
Beliau berharap adanya sempadan yang lebih jelas antara waktu kerja dan masa peribadi bagi membantu mengurangkan keletihan serta meningkatkan fokus.

Sementara itu, Pauline Tan, 28, yang bekerja sebagai pembantu pentadbiran dan juruteknik kuku separuh masa, berpendapat pengurusan masa yang berkesan merupakan kunci utama dalam mencapai keseimbangan tersebut.
Katanya, fokus ketika bekerja membolehkan tugasan diselesaikan dengan lebih efisien sekali gus memberi ruang untuk meluangkan masa terhadap perkara lain selepas waktu kerja.
“Fokus semasa bekerja penting supaya selepas habis kerja, kita masih ada masa untuk perkara lain
“Saya juga tidak membawa kerja pulang, jadi hubungan dengan keluarga lebih akrab kerana mempunyai lebih banyak masa bersama mereka,” ujarnya.

Bagi Sheral Butler, 23, seorang pekerja sektor runcit, cabaran utama adalah keletihan fizikal dan mental selepas bekerja dalam tempoh yang panjang, khususnya ketika musim sibuk.
Menurutnya, waktu kerja yang tidak menentu termasuk hujung minggu dan musim jualan boleh mengehadkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Kadang-kadang memang rasa sangat penat selepas syif yang panjang, terutama ketika waktu sibuk.
“Namun pengalaman itu mengajar saya untuk lebih menghargai masa yang ada dan merancang dengan lebih baik supaya masih dapat meluangkan masa bersama orang tersayang,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan masa dan penetapan sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi bagi memastikan kesejahteraan diri terus terpelihara.

Dalam pada itu, Nurazizah Mohammad Yusof, 31, Eksekutif Sokongan Teknikal Pelanggan di Telekom Malaysia, menyifatkan persekitaran kerja yang fleksibel dan tersusun sebagai faktor penting dalam mencapai keseimbangan tersebut.
Menurutnya, sokongan majikan membolehkan beliau mengurus komitmen kerja, perniagaan sampingan serta minat peribadi dengan lebih baik.
“Saya percaya saya mempunyai keseimbangan yang baik kerana persekitaran kerja yang menyokong membantu saya kekal produktif di tempat kerja dan pada masa sama mengurus komitmen lain.
“Namun, cabaran utama tetap pengurusan masa dan tenaga, terutama apabila beban kerja meningkat secara mendadak,” jelasnya.
Beliau berharap lebih banyak fleksibiliti seperti waktu kerja anjal atau pilihan bekerja dari rumah dapat diperluaskan bagi membantu pekerja mengurus tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Turut berkongsi pandangan, usahawan Sherlynna d’Kaur, 35, yang mengurus perniagaan sambil bergelar ibu, menyifatkan keseimbangan hidup sebagai sesuatu yang masih dalam proses penyesuaian.
Katanya, masa sentiasa terbahagi antara tanggungjawab kerja dan keluarga, namun beliau berusaha untuk kekal fokus pada setiap peranan yang dimainkan.
“Masa adalah cabaran terbesar kerana sentiasa ada tuntutan daripada kedua-dua sisi, dan kadangkala ia bertindih.
“Namun sebagai usahawan, fleksibiliti yang ada banyak membantu saya mengurus masa dengan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, hampir setiap hari beliau berdepan situasi di mana masa untuk diri sendiri menjadi terhad kerana keutamaan lebih tertumpu kepada kerja dan keluarga.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sistem sokongan keluarga yang membantu mengimbangi tanggungjawab harian.
Secara keseluruhan, kesemua responden turut menyuarakan harapan agar golongan pekerja terus diberikan pengiktirafan sewajarnya, selain sokongan dalam bentuk persekitaran kerja yang sihat, masa rehat mencukupi serta peluang untuk berkembang.
Hari Pekerja bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan tenaga kerja, malah mengingatkan kepentingan mewujudkan keseimbangan yang mampan antara kerjaya dan kehidupan demi kesejahteraan jangka panjang.
Oleh Adele Rissa