KUCHING: Seorang wanita berusia 20 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diekori dan dirakam oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di sebuah kedai di pusat beli-belah Pusat Beli-Belah AEON Kuching.
Menurut laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Maong pada 6 Ogos dan kejadian berlaku kira-kira 3.45 petang ketika pengadu bersama seorang rakannya berada di premis berkenaan.
Pengadu mendakwa mereka diekori seorang lelaki yang tidak dikenali, dipercayai berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun.
Lelaki berkenaan kemudian didakwa menghampiri mereka sebelum menggunakan telefon bimbit untuk merakam video pengadu bersama rakannya.
Menyedari perkara itu, pengadu menegur lelaki berkenaan dan bertanyakan sebab dia merakam mereka. Bagaimanapun, lelaki tersebut didakwa menafikan perbuatan berkenaan.
Pengadu kemudiannya meminta bantuan pekerja kedai serta meminta lelaki itu menunjukkan rakaman dalam telefon bimbitnya dan memadamkan rakaman tersebut.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan didakwa terus beredar dari premis itu tanpa menunjukkan atau memadamkan rakaman tersebut.
Pengadu berkata, dia bimbang rakaman berkenaan akan ditularkan atau disalahgunakan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.
Laporan polis dibuat sebagai rujukan serta bagi menjaga keselamatan pengadu dan rakannya sekiranya kejadian seumpama itu berlaku pada masa akan datang.
Di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, perbuatan dengan niat untuk menghina kesopanan seseorang melalui perkataan, bunyi, isyarat atau perbuatan tertentu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Oleh Connie Chieng





