KUCHING: Wanita berusia 23 tahun cedera di bahagian kaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Stephen Yong, di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 pagi dan sebuah jentera bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Komander Operasi, PBK II KUP Garry Thompson Lemond dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang melaporkan bahawa insiden tersebut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Seorang mangsa wanita, ditemui masih berada di dalam kenderaan semasa pasukan penyelamat tiba.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan operasi dan telah dihantar ke hospital menggunakan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Selain wanita tersebut, seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara lima hingga enam tahun turut terlibat dalam kemalangan itu, namun dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Operasi melibatkan 10 anggota bomba dan satu EMRS. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.58 pagi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.