KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen berkata, seorang wanita berusia 74 tahun berjaya mengekalkan kediamannya buat sementara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepadanya dalam pertikaian berkaitan urus niaga pinjaman wang.
Chong berkata, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Mdm Voon bersama anaknya, Mr Chang, mendapatkan bantuannya pada Julai tahun lalu selepas kediaman keluarga mereka didakwa berisiko dipindahkan kepada pihak ketiga susulan pertikaian pinjaman dengan seorang pemberi pinjam wang.
Menurut Chong, Mr Chang telah meminjam RM116,000 daripada pemberi pinjam wang tersebut pada Mei 2022. Antara Julai 2022 hingga Mei 2025, beliau didakwa telah membayar balik sejumlah RM600,300 kepada pemberi pinjam wang berkenaan, pengarah syarikat serta setiausaha syarikat.
“Walaupun bayaran tersebut telah dibuat, pemberi pinjam wang itu didakwa menuntut tambahan RM450,000. Jika gagal berbuat demikian, tanah milik Mdm Voon yang menjadi tempat kediaman keluarga mereka akan dipindahkan kepada pihak ketiga,” katanya.
Chong berkata, beliau menasihati Mdm Voon supaya memfailkan kaveat persendirian terhadap tanah berkenaan bagi menghalang sebarang pemindahan hak milik sementara pertikaian itu belum diselesaikan.
Menurutnya, pihak ketiga yang memegang dokumen pemindahan tersebut kemudiannya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan kaveat berkenaan.
“Bulan lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada Mdm Voon dan menolak permohonan untuk membatalkan kaveat tersebut. Ini bermakna kediamannya dilindungi buat sementara waktu sementara pertikaian undang-undang antara anaknya dan pemberi pinjam wang itu diteruskan,” katanya.
Kes saman sivil utama itu dijadualkan untuk dibicarakan pada September 2027.
Chong berkata, Mdm Voon dan anaknya berasa lega selepas dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah tersebut pagi ini.
“Walaupun kes ini masih belum selesai, keputusan itu memberikan mereka ketenangan buat masa ini kerana kediaman mereka kekal dilindungi sementara menunggu keputusan perbicaraan,” katanya.
Oleh Connie Chieng




