JAKKSA santuni warga emas dan OKU di Kampung Nanga San

Facebook
WhatsApp
GERALD Empaling (lima kiri) turun padang bagi menyampaikan sumbangan makanan, kerusi roda serta barangan keperluan harian kepada warga emas dan OKU di Kampung Nanga San. Foto: JAKKSA

SIMANGGANG, 6 November: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) meneruskan komitmen membantu golongan memerlukan menerusi penyaluran sumbangan makanan, kerusi roda serta barangan keperluan harian kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Nanga San, di sini, hari ini.

Program kebajikan itu diketuai Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling, bersama ahli jawatankuasanya yang turun padang menyampaikan sendiri bantuan kepada penerima terpilih.

Antara sumbangan disalurkan termasuk bekalan makanan kepada sebuah keluarga OKU, sebuah kerusi roda kepada keluarga OKU lain serta barangan keperluan asas dan kelengkapan mandian kepada dua warga emas.

Ketibaan rombongan JAKKSA disambut wakil Tuai Rumah, bekas Kaunselor Munan Amoh, yang merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan kemurahan hati pertubuhan itu dalam membantu penduduk kampung, khususnya golongan warga emas dan OKU.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kehidupan harian penerima serta keluarga mereka.

Gerald yang juga seorang peguam berkata, kebajikan masyarakat khususnya golongan rentan perlu menjadi tanggungjawab bersama dan tidak seharusnya dipandang ringan.

Menurutnya, sumbangan yang mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Bekalan makanan dapat membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga OKU, manakala sumbangan kerusi roda pula mampu meningkatkan pergerakan, kebebasan dan kualiti hidup penerima.

“Begitu juga dengan pemberian barangan keperluan asas kepada warga emas sebagai tanda bahawa mereka sentiasa dihargai, dihormati dan tidak dilupakan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan warga emas dan OKU bukan sahaja memerlukan bantuan berbentuk material, malah perhatian, kasih sayang, penghormatan serta sokongan berterusan daripada masyarakat.

Katanya, warga emas telah banyak menyumbang kepada keluarga dan komuniti sepanjang kehidupan mereka, justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kebajikan serta keperluan mereka terus diberikan perhatian.

Dalam masa sama, keluarga yang menjaga ahli keluarga OKU juga berdepan cabaran kewangan dan fizikal yang memerlukan sokongan masyarakat.

Gerald berkata, JAKKSA akan terus mengenal pasti keluarga kurang berkemampuan, warga emas dan golongan OKU di kawasan luar bandar sekitar Sri Aman yang memerlukan bantuan.

“Khidmat masyarakat bukan sekadar menyampaikan bakul makanan, kerusi roda atau barangan keperluan harian. Lebih penting, kita hadir mendengar masalah rakyat dan mengingatkan mereka bahawa masih ada pihak yang mengambil berat.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh memainkan peranan untuk meringankan kesukaran hidup seseorang,” katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama Munan dalam membantu menyelaras program berkenaan serta mengenal pasti penduduk kampung yang memerlukan perhatian.

Menurutnya, JAKKSA akan terus bekerjasama dengan pemimpin masyarakat, wakil kampung dan pihak berkepentingan bagi memastikan bantuan disampaikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Di JAKKSA, kami percaya kebaikan tidak semestinya hadir melalui sumbangan besar. Kadangkala sebungkus barangan dapur, sebuah kerusi roda atau kunjungan ringkas sudah cukup untuk membawa harapan dan memberikan keselesaan kepada seseorang.

“Komitmen kami mudah, iaitu terus mendekati masyarakat, membantu sedaya upaya dan memastikan tiada golongan rentan berasa terpinggir atau dilupakan,” katanya.

Program di Kampung Nanga San itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan berterusan JAKKSA dalam menyantuni warga emas, golongan OKU serta keluarga kurang berkemampuan di seluruh kawasan Sri Aman.

Oleh Adi Safarman