Wanita 30-an ditahan, disyaki jadi keldai akaun penipuan e-dagang

Facebook
WhatsApp
KELDAI AKAUN… Suspek yang dipercayai berperanan sebagai keldai akaun penipuan e-dagang ditahan polis pada petang semalam. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Hasrat seorang mangsa membeli kasut sukan menerusi Instagram bertukar kerugian RM1,000 selepas dipercayai terpadaya dengan penipuan e-dagang yang membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan disyaki berperanan sebagai keldai akaun.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, wanita berusia lingkungan 30-an tersebut ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, kira-kira 1.00 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah berminat untuk membeli kasut sukan di laman sosial Instagram.

“Mangsa kemudian membuat tiga transaksi pembayaran ke akaun yang diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan kerugian dilaporkan sebanyak RM1,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai keldai akaun dalam modus operandi penipuan e-dagang tersebut.

“Semakan lanjut turut mendapati suspek dikesan terbabit dalam laporan polis di Daerah Sarikei dan Kluang.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” sebelum ini.

Tansli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan kepada pihak ketiga.

“Mangsa juga boleh menghubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 bagi melaporkan penipuan dalam talian atau menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.

Oleh Earl Anek