MIRI, 28 Nov: Kemampuan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Miri, iaitu Piasau, Pujut dan Senadin, menjadi antara tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
GPS mempertaruhkan tiga penyandangnya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew di DUN Piasau, Adam Yii Siew Sang di DUN Pujut dan Datuk Seri Lee Kim Shin di DUN Senadin bagi mengekalkan penguasaan gabungan itu di ketiga-tiga kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, persaingan kali ini dijangka lebih mencabar apabila Parti Bumi Kenyalang (PBK) turut meletakkan calon di ketiga-tiga kerusi, manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di Pujut dan Senadin.
Di Piasau, Sebastian dicabar calon PBK, Devora Chung Siew Yen.
Sementara itu, kerusi DUN Pujut menyaksikan Adam berdepan saingan calon DAP, Voon Kai Foo dan calon PBK, Leslie Ting Siong Ngiap.
Di Senadin pula, Lee berdepan saingan tiga calon lain iaitu Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, 43, calon PBK, Ngieng Sheng Chung, 54, serta calon Bebas, Tibin Sidu, 61.
Kehadiran Alan turut menarik perhatian memandangkan beliau pernah menjadi wakil rakyat bagi kerusi DUN Piasau.
Selain persaingan antara parti, isu pembangunan infrastruktur, kesesakan lalu lintas, banjir, peluang pekerjaan dan kemudahan awam dijangka menjadi antara perkara yang diberi perhatian pengundi.
GPS mempunyai kelebihan sebagai parti penyandang dengan rekod perkhidmatan serta jentera politik sedia ada.
Namun, keupayaan mempertahankan ketiga-tiga kerusi itu bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah kerana keputusan akhir bergantung kepada penerimaan rakyat terhadap calon, rekod perkhidmatan dan tawaran yang dikemukakan sepanjang kempen.
Persoalannya, adakah pengundi di Miri akan terus memberikan mandat kepada GPS atau memilih perubahan melalui calon parti lain?
Jawapannya bakal diketahui pada 12 Disember ini.
Oleh Liong Chai Ling



