Tarik diri demi prinsip, Untai Dana serah sokongan kepada calon baharu GPS Kabong

Facebook
WhatsApp
BEKAS ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan Nor-E-Fadzwie Salleh sedang mendengar ucapan daripada Mejar (Bersara) Untai Dana.

KABONG, 28 Nov: Mejar (Bersara) Untai Dana yang sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, mengambil keputusan menarik diri daripada persaingan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) dan menyatakan sokongan penuh kepada calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Keputusan itu dibuat susulan perubahan calon GPS bagi kerusi berkenaan kepada wajah baharu, sekali gus mendorong beliau berundur demi mempertahankan prinsip yang dipegang sejak awal.

Untai berkata, keputusan tersebut dibuat dengan penuh keikhlasan kerana beliau bukan sahaja menyokong calon baharu GPS iaitu Nor-E-Fadwie Salleh, malah bersedia menyerahkan sokongan yang diterimanya sebelum ini kepada calon berkenaan.

“Dan saya mengundurkan diri sebab saya menyokong dengan penuh semangat calon baharu ini. 

“Kepada pengundi-pengundi yang menyokong saya tempoh hari, saya akan serahkan sokongan ini kepada calon GPS N.40 Kabong,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada semua penyokong, sahabat serta masyarakat Kabong yang mungkin berasa kecewa dengan keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Dalam pada itu, Untai berharap kepimpinan baharu yang bakal menerajui Kabong kelak sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, selain peka terhadap kesusahan masyarakat dan sentiasa bersedia mendengar suara penduduk.

Menurutnya, amanah kepimpinan bukan sekadar tanggungjawab untuk memimpin, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen bagi memastikan kebajikan serta kepentingan masyarakat terus terbela.

Beliau turut berharap Kabong akan terus menikmati kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan di bawah kepimpinan baharu yang bakal diberikan kepercayaan oleh rakyat.

Tegasnya, keputusan menarik diri daripada pertandingan bukan bermakna perjuangannya untuk masyarakat Kabong telah berakhir, sebaliknya beliau akan terus berpegang kepada prinsip dan menghormati suara rakyat.

“Prinsip dipertahankan, suara rakyat dihormati, perjuangan diteruskan,” katanya.

Keputusan Untai itu sekali gus menyaksikan sokongan yang sebelum ini diberikan kepadanya kini diserahkan kepada calon GPS bagi DUN N.40 Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh, dalam menghadapi PRN13.

Oleh Adi Safarman