TINDAKAN Vietnam tidak menyenaraikan sukan elektronik (e-sukan) dalam Sukan SEA ke-31 di Hanoi tahun depan, dianggap sebagai langkah ke belakang.
Ia berikutan edisi 2019 di Filipina menjadi temasya pertama di dunia untuk menganjurkan e-sukan sebagai acara berpingat, setahun selepas ia dianjurkan sebagai sukan demontrasi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Pemenang pingat emas e-sukan pertama Malaysia, Dr Yew Weng Kean, yang memasang impian untuk mempertahankan pingat itu, berkata Asia Tenggara telah menjadi contoh kepada dunia dalam arena e-sukan dengan menjadikan acara sukan itu sebagai salah satu acara dalam temasya sukan.
“Saya rasa Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam membuat kesilapan besar dengan tidak menyenaraikan e-sukan. Kita tidak perlulah melangkah ke belakang, kita perlu meneruskan trend yang telah kita buat. Lebih-lebih lagi apabila jumlah penonton (termasuk televisyen dan penstriman langsung) mencecah lebih 20 juta di Manila.
“Asia Tenggara adalah contoh kejayaan kepada dunia, di mana e-sukan sedang dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 di China dan Olimpik 2026 di Paris,” katanya ketika ditemui Bernama, semalam.
Yew, penolong professor kejuruteraan elektrikal di Universiti Heriot-Watt Malaysia, berjaya menempah nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam acara e-sukan Sukan SEA selepas meraih emas dalam acara permainan Hearthstone.
Dikenali dengan nama wkyew90 dalam kalangan pengemar e-sukan, Yew berkata Vietnam mempunyai pilihan untuk menyenaraikan permainan video yang popular dan mempunyai kelebihan kepada tuan rumah, walaupun Heartstone tidak disenaraikan.
“Saya berharap e-sukan akan dipertandingkan di Vietnam tahun depan untuk meneruskan legasi sukan ini,” katanya.
Vietnam dijangka mengumumkan keputusan mengenai rayuan 10 negara bertanding di Sukan SEA untuk menambahkan acara yang dipertandingkan, selepas penganjur hanya menyenaraikan 36 jenis sukan sebelum ini.
E-sukan, hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, tenpin boling, skuasy, boling padang, kriket, ragbi 7s, papan selaju, floorball, triathlon, taekwondo ITF, lumba bot tradisional, jujitsu, arnis, dan teqball adalah antara 22 jenis sukan yang membuat rayuan. – Bernama