Vesel langgar lesen, empat kru dicekup di Kuala Baram

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DITAHAN…Vesel nelayan tempatan yang ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Maritim Miri selepas didapati melanggar syarat lesen serta peraturan imigresen dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Baram, petang semalam.

MIRI: Sebuah vesel nelayan tempatan yang melanggar syarat lesen dan peraturan imigresen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Baram, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, vesel itu ditahan sekitar  1.40 petang pada kedudukan 7.2 batu nautika barat laut Kuala Baram. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kru vesel terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

DITAHAN…Empat kru ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kesalahan itu melanggar Akta Imigresen 1959/63, selain vesel berkenaan turut menggunakan nahkoda yang tidak didaftarkan dalam buku lesen, menyalahi Akta Perikanan 1985,” katanya. 

Beliau berkata, vesel itu dikendalikan empat kru terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 25 hingga 66 tahun.

Katanya, semua kru bersama vesel ditahan sebelum diiring ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara,” katanya. 

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Miri.

Oleh Liong Chai Ling