KUCHING: Vendor dan kontraktor di bawah Sarawak Energy Berhad (SEB) diminta untuk terus patuh dengan standard yang telah ditetapkan oleh SEB.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, ini bagi memastikan kualiti servis dan bekalan yang disalurkan oleh vendor dan kontraktor berada pada tahap terbaik agar pembekalan tenaga elektrik dapat disalurkan dengan sempurna.
“Seperti yang kita semua tahu persepsi normal adalah SEB yang menjaga dan menguruskan bekalan tenaga elektrik di Sarawak, jadi jika vendor dan kontraktor tidak mencapai standard SEB, mereka akan menyalahkan SEB.
“Oleh yang demikian, pihak vendor dan kontraktor perlu ada tanggungjawab dan kredibiliti yang sama terhadap sektor tenaga,” jelasnya ketika berucap dalam majlis Anugerah Vendor 2020 Sarawak Energy di BCCK semalam.
Ketua Menteri juga menyarankan pihak vendor dan kontraktor untuk terus menaik taraf kualiti kerana melalui pencapaian dan rekod yang baik, SEB akan terus memberi kontrak kepada mereka.
“pihak vendor dan kontraktor perlu sesuaikan diri dengan teknologi baharu, mengawal kos tanpa mengabaikan kualiti, tingkatkan keselamatan ketika di lokasi operasi, memberi latihan kepada pekerja, dan juga mempunyai pejabat yang berkualiti.
“Kita mahu vendor dan kontraktor tempatan untuk terus turut serta dalam projek mega dan kita percaya dengan hasil kerja orang tempatan untuk terus bersaing dengan vendor dan kontraktor antarabangsa,” katanya lagi.
Pada masa yang sama beliau juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak vendor dan kontraktor yang Berjaya mengekalkan standard SEB dan berharap keadaan ini kekal.
“Bagi memastikan kita mempunyai pekerja tempatan yang berkualiti, pihak vendor dan kontraktor perlu bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) yang baru-baru ini diberi status kolej universiti.
“Melalui ICATS, kita dapat melatih lebih ramai pekerja yang berkualiti di samping membuka peluang untuk mereka yang telah bekerja dalam skema vendor untuk terus meningkatkan kebolehan dan menawarkan kualiti terbaik untuk kita,” ujarnya.
Beliau turut menerangkan betapa pentingnya untuk menghasilkan tenaga kerja utama yang tepat untuk memacu kemajuan dalam sektor tenaga agar dapat bergerak dengan lebih pesat.
Oleh ASYRAF HALIM