LONDON: Ruud van Nistelrooy meninggalkan staf kejurulatihan Manchester United awal pagi tadi ketika pengurus baharu Ruben Amorim tiba di kompleks latihan kelab itu bagi memulakan kariernya di Old Trafford.
Van Nistelrooy dari Belanda, bekas penyerang bintang kelab itu, diberikan peranan sebagai pengurus sementara selepas pemecatan Erik ten Hag hujung bulan lalu.
Beliau menyaksikan tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan kendaliannya, melengkapkannya dengan kemenangan 3-0 ke atas Leicester dalam Liga Perdana Inggeris, kelmarin.
Bekas bos PSV Eindhoven itu dilantik sebagai penolong jurulatih pada Julai lalu dengan kontrak dua tahun, menyuarakan keinginannya untuk kekal di Old Trafford bekerja bersama Amorim.
Namun United mengeluarkan kenyataan semalam mengesahkan jurulatih berusia 48 tahun itu tidak akan menjadi sebahagian daripada struktur kejurulatihan baharu.
“Manchester United boleh mengesahkan Ruud van Nistelrooy sudah meninggalkan kelab,” menurut kenyataan itu.
“Ruud menyertai kami pada musim panas lalu dan mengendalikan pasukan bagi empat perlawanan terakhir sebagai ketua jurulatih sementara.
“Ruud akan sentiasa kekal menjadi seorang legenda Manchester United.
“Kami berterima kasih kerana sumbangannya dan cara yang mana beliau memegang peranannya sepanjang masanya di kelab. Beliau akan sentiasa dialu-alukan di Old Trafford.”
United berkata, jurulatih lain Rene Hake, Jelle ten Rouwelaar dan Pieter Morel turut meninggalkan kelab itu. – AFP