Van musnah terbakar di Jalan Bulatan Puspakom

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SEBUAH van musnah sepenuhnya selepas terbakar di Jalan Bulatan Puspakom, Kota Samarahan, petang ini. Pasukan bomba dari BBP Kota Samarahan berjaya memadam kebakaran tanpa sebarang mangsa dilaporkan terlibat. Foto JBPM Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Sebuah van musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Bulatan Puspakom, di sini, petang ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.33 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Paul Senum, tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Setibanya di lokasi, didapati sebuah van sedang marak dan telah terbakar 100 peratus.

OPERASI PEMADAMAN…Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah van yang musnah 100 peratus di Jalan Bulatan Puspakom, Kota Samarahan, petang ini. Foto JBPM Sarawak

Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya.

Selepas memastikan keadaan selamat serta tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api, operasi ditamatkan pada 3.52 petang.

Operasi melibatkan tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS)

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.