LONDON: Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk didakwa kerana bertindak dengan cara tidak wajar selepas dia dibuang padang ketika menentang Newcastle, Ahad lalu.
Van Dijk dilayangkan kad merah pada minit ke-28 selepas mengasari penyerang Newcastle, Alexander Isak ketika kemenangan 2-1 Liverpool di St James’ Park.
Pertahanan tengah Belanda berang dengan keputusan itu dan pada awalnya enggan meninggalkan padang apabila dia bertekak dengan pengadil John Brooks.
Van Dijk kini menjalani penggantungan satu perlawanan, menyaksikannya diketepikan bagi aksi menentang Aston Villa hujung minggu ini.
Namun penggantungan itu mungkin ditambah selepas dia didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris semalam kerana menggunakan bahasa kesat atau menghina pegawai perlawanan.
“Virgil van Dijk didakwa melanggar Peraturan FA E3.1 susulan perlawanan Liga Perdana Liverpool menentang Newcastle United pada Ahad, 27 Ogos,” menurut kenyataan FA.
“Didakwa pemain pertahanan itu bertindak dengan cara yang tidak wajar dan/atau menggunakan kata kesat dan/atau menghina terhadap pegawai perlawanan.”
Van Dijk diberikan masa hingga Jumaat ini untuk membalas pertuduhan itu.
Bercakap sejurus perlawanan di Newcastle, bos Liverpool, Jurgen Klopp mengecam keputusan membuang padang pemain pertahanannya.
“Saya tidak fikir ia kad merah. Tidak banyak sentuhan, terlalu kecil, tetapi apa boleh buat? Keputusan sebegini dan saya tidak boleh mengubahnya,” katanya.
“Adakah saya akan meniup wisel ketika perlawanan latihan? Sudah tentu tidak, tetapi ada alasan kenapa saya bukannya seorang pengadil.” – AFP