COPENHAGEN: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge berpandangan pesimis terhadap kemampuan vaksin untuk menamatkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Kenyataan itu ketika penularan varian baharu melenyapkan harapan untuk mencapai imuniti kelompok.
“Dengan mengambil kira situasi kemungkinan jangkitan Covid-19 akan terus berada selama beberapa tahun lagi.
“Pihak berkuasa kesihatan perlu memikirkan cara untuk menyesuaikan strategi vaksinasi secara beransur-ansur terutamanya berhubung keperluan dos tambahan,” katanya kepada pemberita.
Mei lalu, WHO memaklumkan pandemik tersebut akan berakhir setelah mencapai minimum 70 peratus penduduk dunia divaksin.
Ketika ditanya sama ada angka itu masih menjadi sasaran atau lebih ramai penduduk perlu mendapatkan suntikan vaksin, Kluge mengakui situasi kini sudah berubah berikutan kemunculan varian baharu dan lebih mudah menular seperti Delta.
“Saya rasa ia membawa kita kepada tujuan vaksinasi iaitu mencegah penyakit lebih serius serta risiko kematian.
“Sekiranya, kita menganggap Covid-19 akan terus bermutasi dan berada bersama kita sepertimana influenza maka kita memikirkan cara menyesuaikan strategi vaksinasi sehingga ke arah endemik dan mengumpulkan maklumat mengenai suntikan tambahan,” katanya.
Sementara itu, Kluge memberitahu kadar vaksinasi yang tinggi juga amat penting untuk mengurangkan tekanan sistem kesihatan yang juga perlu merawat penyakit lain. – AFP