KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah apabila menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak pelantikan of Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara.
MoU itu ditandatangani oleh Ahmad Terrirudin mewakili AGC dan Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan sempena sambutan ulang tahun ke-20 program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian (LL.B) di UUM, semalam.
Melalui MoU itu, AGC akan memberi peluang kepada pelajar Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), UUM menjalani program sangkutan di AGC, manakala petugas akademik UUM, pegawai undang-undang akan diberi peluang menjalani program sabatikal/latihan industri di AGC.
Selain itu, AGC juga memberi peluang kepada UUM untuk menyenaraikan siswazah terbaik dari SoL untuk mengikuti Program Green Harvest.
MoU ini juga menjadi platform untuk kerjasama penyelidikan, kajian, dan perkongsian ilmu dalam bidang perundangan antara staf akademik/pegawai undang-undang UUM dan AGC, serta program pembangunan modal insan untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang perundangan.
Selain itu, MoU ini akan menandakan permulaan kerjasama dengan AGC dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan, latihan undang-undang, kursus pendek, persidangan bersama, simposium dan perundingan yang dianjurkan oleh UUM.
Sementara itu, Ahmad Terrirudin dalam kenyataan hari ini berkata AGC komited untuk melaksanakan kerjasama dalam MoU itu bagi kemajuan sistem perundangan negara dan komitmen ini ditunjukkan dengan kehadiran beberapa pegawai kanan AGC pada majlis tersebut.
“Ini adalah MoU pertama yang ditandatangani AGC dengan IPTA sejak saya menjadi Peguam Negara, dan saya berharap kerjasama serupa dengan IPTA lain akan menyusul.
“Pihak pengurusan tertinggi AGC sentiasa memberi peluang kepada pegawai meningkatkan pengetahuan mereka untuk pembangunan kerjaya, dan saya melihat kerjasama dengan UUM dan IPTA lain ini pada masa hadapan sebagai satu daripada medium terbaik untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Foad dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata UUM amat berbesar hati kerana berpeluang menjalinkan kerjasama strategik antara UUM dan AGC.
“Ini adalah matlamat yang ingin kami capai iaitu merealisasikan objektif utama mentransformasi pendidikan tinggi di Malaysia bagi menghadapi cabaran baharu dengan memanfaatkan nilai ‘pengetahuan mendalam,’ kemahiran, dan bakat dalam kalangan ahli UUM dan AGC.
“Saya amat berharap perkongsian strategik ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak dan menjadi pemangkin kepada pelbagai perancangan dan pelaksanaan program bersama pada masa hadapan,” tambahnya. – Bernama