LAWAS: Kerajaan GPS diterajui oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak terus memastikan keutamaan rakyat diberi fokus utama khususnya kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, bagi konstituensi Batu Danau menyaksikan sebanyak RM138 juta diperuntukkan dibawah NRDA untuk projek jalan raya termasuk di Nanga Medamit,Pulau Brunei Medamit dan sekitarnya.
Selain itu, pembangunan keperluan asas seperti bekalan air bersih juga menyaksikan sebanyak RM70 juta dibelanjakan di bawah NRDA yang merangkumi kawasan di Bawang Ubor dan Kuala Mendalam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata agenda pembangunan ini adalah usaha berterusan kerajaan Sarawak menerusi agensi yang berada di bawah RECODA.
RECODA melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) akan memastikan segala transformasi pembangunan bersepadu Utara Sarawak dilaksanakan dengan sempurna.
Ini melibatkan pembinaan jalan raya, infrastruktus asas termasuk bekalan air dan kemudahan elektrik, pendidikan, dan projek pembangunan lain.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Lawatan Kerja Ke Mendamit disini semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak Datu Zaidi Mahdi, Pengarah Wilayah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.
Seterusnya sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk projek usahawan termasuk pembinaan Anjung Usahawan.
“Projek sosio ekonomi pula menyaksikan sejumlah RM6.5 juta diperuntuk termasuk pembinaan Tebingan Sungai Medamit sekaligus menjadikan pekan Medamit sebagai pusat perniagaan ,mengubah landskap dan wajah pekan Medamit serta melonjak sektor perkhidmatann luar bandar.
Selain itu katanya untuk sektor pertanian di kawasan Batu Danau sejumlah RM1.1 juta dibelanjakan untuk membangunkan Stesen Kerbau di Batu Danau dan RM24 juta untuk menaik taraf 13 buah sekolah daif di Batu Danau dibawah NRDA.
Awang Tengah turut memberitahu bekalan elektrik untuk kawasan Limbang dan Lawas akan disambungkan kepada sistem grid yang kini dalam perlaksanaan dan dijangka siap dalam 2023.
Menyentuh lanjut, beliau menjelaskan bahawa sejak Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg memimpin negeri ini selama tiga tahun,beliau dapat meneruskan projek besar serta projek yang dibatal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.
Segala projek PH yang melibatkan pembangunan dan kebajikan rakyat sekadar menjanjikan harapan kosong.
Namun demikian Abang Johari telah meneruskan segala projek yang dibatalkan itu atas dasar keutamaan untuk rakyat Sarawak.
Walau bagaimanapun terdapat segelintir yang buta sehingga tidak nampak pembangunan yang dibuat kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghargai dan bersyukur terhadap nikmat pembangunan khususnya kepentingan rakyat Sarawak.
Oleh Adeng Edrus