Usia bukan penghalang, pengalaman kekuatan Pandelela – Tze Liang

Facebook
WhatsApp
JURULATIH terjun, Ooi Tze Liang dan penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

KUALA LUMPUR: Usia bukan penghalang buat penerjun negara Datuk Pandelela Rinong untuk terus memberikan saingan di pentas Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 dengan pengalaman luas menjadi antara kekuatan utamanya di temasya itu.

Jurulatihnya Ooi Tze Liang yakin dengan kemampuan Pandelela untuk memberikan persembahan terbaik namun berkata aspek kecergasan fizikal dan persiapan antara perkara yang perlu diberikan perhatian penuh untuk meningkatkan prestasi atlet itu.

“Dari segi pengalaman, saya memang yakin dan sekarang kita perlu mengekalkan fizikal dan mental serta meningkatkan persiapan untuk memperbaik prestasi di Sukan Asia.

“Kali ini kita mengikuti kem latihan di China dan ini membantu meningkatkan persiapan. Kita akan bantu dan bekerjasama dengan Pandelela untuk meningkatkan prestasinya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pandelela, 33, penerjun paling berpengalaman dalam skuad negara akan menyertai acara 10 meter (m) platform wanita pada temasya itu yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.

Tze Liang yang mempunyai hubungan cukup rapat dengan Pandelela kerana pernah ‘terjun’ sebagai atlet sebelum beralih kepada kejurulatihan yakin Pandelela mempunyai semangat juang tinggi untuk memburu kejayaan dalam temasya itu. 

“Saya faham dan tahu apa yang diperlukan Pandelela kerana pernah kami berkawan sejak berusia sembilan, 10 tahun dan sekarang menjadi jurulatih. Saya perlu memberi bantuan apa diperlukan Pandelela (untuk mencatatkan kejayaan),” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta Pandelela supaya tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang luar termasuk komen di media sosial yang mempertikaikan faktor usianya.

“Sebagai atlet profesional, dia perlu bijak menangani situasi seperti ini. Fokus kepada situasi semasa dan apa yang perlu dilakukan. Itu paling penting, yang lain biarkan kerana kita tidak boleh mengawalnya,” katanya.

Dalam pada itu, Tze Liang mengakui Pandelela mampu membawa pengaruh positif kepada atlet muda yang turut membuat persiapan ke Sukan Asia.

Selain Pandelela, dua lagi penerjun negara iaitu Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj akan beraksi dalam acara 10m platform wanita manakala Yong Rui Jie dalam acara 3m papan anjal lelaki, dengan mereka turut di bawah bimbingan Tze Liang.

Elisha Rania dan Rui Jie bakal membuat penampilan pertama di Sukan Asia, menjadikan pengalaman Pandelela sebagai aset penting dalam membuat persiapan skuad berkenaan.

Tze Liang berkata sasaran utamanya bukan semata-mata tentang pingat, sebaliknya memastikan atlet bimbingannya mampu mengekalkan konsistensi latihan dan menunjukkan perkembangan dari hari ke hari.

“Sasaran saya ialah latihan secara konsisten. Saya mahu apa yang dibuat diulang dan ada kemajuannya. Jika konsisten saya percaya pasti ada kejayaan,” katanya.- Bernama

Polis buru suspek samun bank di Bintulu

BINTULU: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah bank di daerah ini kira-kira