KUALA LUMPUR: Usaha India untuk mengurangkan pergantungan import minyak masak merupakan sebahagian daripada usahanya yang lebih besar bagi mampu diri dalam makanan.
Sebelum ini pun, sudah banyak dialog bertujuan bagi mengurangkan bil import minyak sayuran negara itu yang agak besar, yang mana, India sedang menggalakkan golongan petani untuk meningkatkan pengeluaran minyak bijirin dan memperuntukkan lebih banyak tanah bagi penanaman ladang kelapa sawit.
Minyak sawit merangkumi kira-kira 60 peratus daripada 15 juta tan minyak sayuran India dan kebanyakannya dibekalkan oleh pengeluar terbesar seperti Indonesia dan Malaysia.
Pengimport minyak makan terbesar di dunia itu turut bergantung kepada Argentina, Brazil, Ukraine dan Rusia untuk minyak kacang soya serta bunga matahari..
Import produk itu perlu memenuhi kira-kira 70 peratus kekurangan dalam permintaan minyak makan India, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunvin Group, Sandeep Bajoria, sebuah kumpulan utama dalam industri berkenaan.
Kerajaan India mahu mengurangkan kebergantungan import kepada kira-kira separuh daripada jumlah keperluan negara menjelang 2025.
“Ia bukan mengenai minyak sawit semata-mata. Secara keseluruhan, India mahu mengurangkan pergantungan kepada minyak makan yang diimport, jadi sudah ada usaha untuk mempromosikan minyak bijiran tempatan seperti sesawi dan biji sawi, kacang soya serta kacang tanah,” Bajoria memberitahu Bernama.
Kejatuhan ekonomi berikutan pandemik Covid-19 mengukuhkan lagi usaha India untuk menyelamatkan pertukaran asing.
Kerajaan merancang untuk meningkatkan cukai import ke atas minyak makan dan menggunakan lebihan itu dalam menyokong pengeluaran minyak bijirin domestik, kata satu laporan media baru-baru ini.
Permintaan tahunan bagi minyak makan adalah sebanyak 25 juta tan dalam negara yang mempunyai 1.38 bilion penduduk tetapi kegawatan ekonomi akibat pandemik baru-baru ini telah mengurangkan penggunaan dalam segmen utama seperti hospitaliti dan makanan.
“India telah mencipta keajaiban dalam pertanian sehingga mampu menyediakan makanan kepada penduduknya yang besar, jadi ia yakin dapat mencapai matlamat dalam mengurangkan pergantungan import minyak makan menjelang 2015. Tempoh gestasi untuk sawit adalah selama empat tahun,” kata Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA), Sudhakar Desai.
“India perlu meningkatkan pengeluaran domestik daripada 7.5 juta tan kepada 12 juta tan untuk mencapai sasaran pengurangan import kepada 45 peratus. Fokus berterusan dengan gabungan sokongan dasar dan pelaburan kewangan, terutamanya dalam pengairan, mampu dicapai dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Bernama.
Pengeluaran minyak bijirin sedang dibuat di atas 27 juta hektar tanah dan 72 peratus daripadanya terletak dalam kawasan yang menerima taburan hujan yang lebih baik, menurut satu laporan daripada Misi Kebangsaan Mengenai Minyak Sawit dan Minyak Bjirin India (NMOOP).
Kawasan berpotensi yang dikenal pasti untuk penanaman kelapa sawit adalah di selatan dan timur India, termasuk kawasan Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Assam, Karnataka, Kerala, Mizoram dan Tamil Nadu.
India merancang untuk mempunyai kira-kira 2 juta hektar ladang kelapa sawit berbanding dengan 316,600 hektar pada akhir tahun kewangan 2016-17 (April-Mac), kata satu penemuan di laman web Misi Keselamatan Makanan Negara.
Pada 1991, kawasan perladangan kelapa sawit hanya seluas 8,585 hektar.
India turut melihat potensi tanaman lain, memandangkan import turut merangkumi komoditi lain.
Misalnya, negeri Rajasthan sedang bereksperimen dengan peladangan zaitun bagi memenuhi permintaan daripada pengguna mewah yang terdedah kepada masakan asing dalam tempoh dua dekad sejak kepesatan globalisasi.
Persatuan Zaitun India (IOA), sebuah badan perdagangan yang ditubuhkan pada 2007 berkata import minyak zaitun India pada tahun fiskal 2018-19 berjumlah 11,669 tan.
Bajoria menggambarkan minyak zaitun sebagai produk ‘mewah’ untuk pasaran India dan melihat rancangan tempatan dalam mengembangkan perladangan zaitun adalah kurang realistik.
Sama ada sesuatu produk itu mempunyai tarikan yang elit atau bertujuan bagi penggunaan besar-besaran, misi keselamatan makanan India adalah kredibel dan boleh dipercayai.- Bernama