Urusan kerajaan negeri berjalan seperti biasa meskipun DUN dibubarkan – Ab Rauf

Facebook
WhatsApp
KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap pada sidang media di Kompleks Seri Negeri hari ini. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok, bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. Foto Bernama

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi jaminan bahawa urusan kerajaan Melaka akan terus berjalan seperti biasa meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok.

Beliau berkata pentadbiran negeri, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa.

“Selepas pembubaran DUN ini, kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ sehingga sebuah kerajaan negeri dibentuk selepas proses pilihan raya.

“Sepanjang tempoh tersebut, keutamaan kita ialah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian pada sidang akhbar ketika mengumumkan pembubaran DUN Melaka yang mula berkuat kuasa esok, di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing secara profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa.

“Negeri ini akan terus ditadbir dengan baik dengan perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan dan kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan kita,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan calon-calon sedia ada daripada Barisan Nasional (BN) dan rakan kerjasama daripada parti lain untuk menyertai pentas demokrasi kali ini, Ab Rauf berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.

“Itu saya tak nak jawab sekaranglah, nantilah dulu. Itu tak bolehlah nak beritahu sebab kita akan ambil banyak faktor. Jadi tak bolehlah hari ini saya nak beritahu hari ini saya bubar, hari ini saya nak beritahu siapa calon … tak bolehlah, tak adillah pada saya.

“Itu saya beritahu nanti bila kita dah putuskan rundingan semua,” katanya.

PRN Melaka ke-15 diadakan pada 20 November 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober 2021.

Empat ADUN berkenaan ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Pada PRN itu, Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi dengan UMNO menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu), sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) pula menang lima kerusi menerusi parti DAP dengan empat kerusi dan Amanah (satu), manakala Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.

Bagaimanapun, dinamika politik menyebabkan perubahan komposisi kerusi selepas ADUN Rembia daripada BN, Datuk Muhammad Jailani Khamis, menyertai PAS, manakala ADUN Bemban daripada Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub dipecat dan menjadi ADUN Bebas, namun beliau kekal dalam blok pembangkang.

Perubahan itu menyebabkan BN kehilangan satu kerusi, namun masih menguasai DUN dengan majoriti 20 kerusi, sekali gus tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 27 Disember depan. – Bernama

DUN Melaka dijangka dibubar hari ini

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 2.00 petang ini di Kompleks