UPMS nafi penglibatan pesanan belian palsu, orang ramai dinasihat berwaspada

Facebook
WhatsApp
NOTIS penafian rasmi yang dikeluarkan UPMS berhubung kewujudan pesanan belian palsu yang disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Foto UPMS

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menafikan sebarang penglibatan dalam isu pesanan belian atau Purchase Order (PO) palsu yang dikesan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan penipuan.

Menurut kenyataan Bahagian Kewangan UPMS, pihak universiti telah mengesan kewujudan PO palsu yang menggunakan nama UPMS tanpa kebenaran, dipercayai dilakukan oleh individu atau sindiket penipuan.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pembekal dan rakan niaga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati serta membuat pengesahan terus dengan pihak UPMS sebelum menerima atau memproses sebarang PO, pembayaran atau urusan berkaitan.

UPMS turut menegaskan bahawa pihak universiti tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian, tuntutan atau implikasi yang dialami oleh mana-mana pihak akibat penipuan menggunakan PO palsu berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan atau menerima maklumat mencurigakan diminta menghubungi UPMS melalui saluran rasmi sahaja bagi mendapatkan pengesahan lanjut.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kepentingan awam serta memastikan integriti urusan kewangan universiti terus terpelihara.

Oleh Carolyne Utih